PZM KUTIP ZAKAT LEBIH RM7 JUTA

 

BUKIT PALAH, 22 April - Pusat Zakat Melaka (PZM) setakat ini berjaya membuat kutipan sebanyak RM7,579,351.30 sejak Januari hingga 21 April 2008 berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM4,536,802.74.

Pengerusi PZM, Datuk Nawi Ahmad berkata, kutipan tersebut melibatkan pembayar seramai 13,635 orang berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu seramai 12,843 orang dan peningkatannya sebanyak 792 atau 6.167 peratus.

"Dengan kutipan tersebut ianya menunjukkan peningkatan sebanyak RM3,042,548.56 atau 67.06 peratus," katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas memyampaikan sumbangan kepada agensi dan pembayar zakat di pejabatnya di sini, pagi ini.

Hadir sama, Pengurus PZM, Ismail Hashim; Presiden Persatuan Pesakit Buah Pinggang negeri Melaka, Zukifli Saari dan para penerima sumbangan.

Jelasnya, zakat perniagaan mendahului kutipan dengan peningkatan sebanyak 478.58 peratus dengan jumlah kutipan RM2,827,874.37 berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 488,759.81 dengan jumlah pembayar membabitkan seramai 267 orang berbanding 255 orang pada tempoh yang sama.

Ujar Nawi, zakat pendapatan mencatat pembayar seramai 10,648 orang atau 8.255 peratus dengan kutipan sebanyak RM1,998,210.88 berbanding tempoh yang sama iaitu sebanyak RM1,618,013.45 dengan pembayar seramai 9,836 orang.

"Pada tempoh yang sama, zakat wang simpanan mencatat kutipan sejumlah RM2,447,831.12 berbanding tahun lalu sebanyak RM2,184,397.89, peningkatan sebanyak RM263,433.23 atau 12.06 peratus dalam tempoh yang sama melibatkan pembayar seramai 2240 orang," katanya.

Katanya, zakat saham juga meningkat daripada RM159,052.49 kepada RM171,380.04 melibatkan perbezaan sebanyak RM12,327.55 atau 7.75 peratus dengan jumlah pembayar melibatkan seramai 163 orang berbanding tempoh yang sama iaitu 147 orang dan peningkatan sebanyak 10.884 peratus.

Nawi memberitahu, pembayar zakat emas turut meningkat daripada RM75,544.20 kepada RM113,265.34 dan perbezaannya sebanyak RM37,721.14 atau 49.93 peratus melibatkan pembayar seramai 279 orang.

"Zakat ternakan turut mencatat peningkatan sebanyak 90.33 peratus melibatkan pembayar seramai 163 orang dengan kutipan RM15,238.00 berbanding RM8,006.00 pada tempoh yang sama tahun lalu," jelasnya.

Ujarnya, zakat pertanian menyumbang sebanyak RM5,551.55 atau 83.29 peratus berbanding RM3,028.90 dalam tempoh yang sama dengan jumlah pembayarnya membabitkan seramai 23 orang.

"Diharap sehingga penghujung tahun ini, sasaran kutipan zakat yang disasarkan ialah sebanyak RM25 juta akan tercapai jika lebih ramai lagi yang membayarnya," katanya.

"Pada tahun 2007 sebanyak RM22.01 juta berjaya dikutip oleh PZM dan jika sasaran kutipan tahun ini diperolehi, akan lebih ramai lagi penerima terdiri daripada lapan asnaf yang disasarkan memperolehi kebaikannya,".